About Me

My Photo
burujerdi
Cinta kepada kerabat keluarga Rasulullah dan kasih kepada Tanah Melayu dan Iran. Sangat gembira bila berada di samping kawan-kawan.
View my complete profile

Tun Dr Mahathir

""...today the Jews rule this world by proxy. They get others to fight and die for them." - Tun Dr Mahathir Mohamad, describing how Jews get the dumb goyim to fight their wars for them.

Anti Politik Wang

Anti Politik Wang

Amerisrael


Salahuddin Ayyubi membebaskan Jerusalem pada tahun 1187 setelah kota suci itu dikuasai oleh tentera Salib selama 88 tahun. Sebelum operasi pembebasan tersebut berjaya terlaksana, Salahuddin terpaksa berunding dengan penguasa-penguasa di Mesir dan menyatukan wilayah-wilayah Islam lain yang sedang berpecah-belah dan membawa mereka untuk duduk di bawah panji pemerintahan Abbasiyyah yang berpengkalan di Baghdad. Fakta perpecahan inilah yang terpaksa ditelan oleh umat Islam sekian lama sehingga menyebabkan mereka terpukul oleh ombak ganas tentera Salib sementara kehadiran Salahuddin dilihat sebagai penebus kembali maruah yang sudah tercemar itu.

Al-Quds terletak di tengah-tengah bagai jantung kepada umat Islam. Status yang diberikan kepadanya mencerminkan taraf dan wibawa umat. Degupan jantung Jerusalem sudah terlalu lama bergejolak, bergegar dan meratapi peneledoran umat hingga mengakibatkan ia tersangkut kembali dalam jaring penjajahan. Tubuhnya menjadi saksi ketika ia dirobek, dijarah dan dibelenggu. Bumi legasi kenabian yang sentiasa mengimbau suara langit kini merintih sakit kerana diceroboh Yahudi. Ia diasak dan direntap hingga lemas, ia dikekang dan dirantai serta dicampakkan dek gelegak kepanasan dan nafsu buas Yahudi. Satu billion lebih umat Islam di dunia tidak boleh berbuat apa-apa. Kita sekadar menyatakan simpati terhadap apa yang diperlakukan ke atas bumi para anbiya' itu.

Keruntuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kemunculan negara-negara bangsa umat Islam yang terpisah-pisah selepas peperangan Dunia Kedua menyiat-nyiat lagi luka Jerulasem yang sudah sedia parah. Terlalu jerih untuk kita mengingati semula zaman mandat yang diagih oleh pemerintahan kolonial Inggeris, keserakahan zionisme, kecelakaan deklarasi Balfour ( 1917 ), pemindahan Yahudi secara berbondong-bondong ke Palestin, drama pemencilan umat dan pengerdilan semangatnya dalam ruanglingkup dan gagasan negara bangsa serta kelahiran 'anak haram' PBB yang dinamakan Israel.

Memang, zionis dengan segala gelagat dan kebiadabannya tidak berhak ke atas Palestin, manakala kewujudan negara Israel pula tidak sah sama ada ditinjau dari segi sejarah, undang-undang atau agama ( ini tidak termasuk mitologi zionis ). Israel dinamakan sebagai sebuah negara sempena pencerobohan dan perkosaan ke atas bumi anbiya' serta kejayaan mereka memperorak-perandakan umat Islam yang bermastautin di situ. Ia adalah harta rampasan dan mesti dipulangkan kembali kepada empunyanya, yakni umat Islam. Di sinilah terletaknya maruah umat, dan pengembalian Jerusalem kepada umat Islam bukan kerana tuntutan dan arahan OIC ( itupun sekiranya ada dalam agenda perjuangannya ), ia isyarat dan mandat keagamaan.

Kepentingannya bukan kerana ia akan menjadi ibu negara Palestin, tetapi kerana Jerusalem adalah kepunyaan umat Islam seluruhnya. Ia bukan milik Palestin atau Arab semata-mata.

Jika kita membelek wang kertas US satu dolar, di bahagian belakang sebelah kiri ada gambar sebuah piramid dan pada datarannya ada tertera ungkapan 'novus ordo seclorum' yang membawa maksud Orde Dunia Baru. Di puncak piramid pula terdapat gambar sebiji mata, lambang gerakan Illuminati, sebuah gerakan rahsia Yahudi. Ia seolah-olah sedang memerhati siapa saja yang terlintas, bagai mahu menjejak arah atau mengintip sebarang pergerakan.

Wang kertas Big Brother ( untuk meminjam gelaran yang digunakan oleh George Orwell ) ini menceritakan segala-galanya; perihal matlamat tersembunyi Amerika yang dibadoti Yahudi. Seperti yang digambarkan oleh George Orwell dalam novel klasiknya tentang sebuah masyarakat totalitarian yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan yang dijolokinya sebagai The Party. Pemerintah tertingginya ialah Big Brother; yang mahu menongkat langit dan memasak bumi.

Semasa kepresidenan Bush ( tokoh besar yang dibaling kasut oleh seorang wartawan Iraq ), Rumsfeld, Cheney dan Wolfowitz duduk bersemayam di atas singgahsana The Principals; mengatur segala tipu muslihat dan rancangan jahat Amerika untuk menguasai dunia. Mereka melangkaui pemikiran strategis dunia dan secara antisipatif mengolah keadaan untuk membentuk lanskap politik peringkat antarabangsa. Dalam kebanyakan hal, adicorak ( megatrend ) dan arus perdana dunia ditentukan oleh mereka.

Amerika mahu diterima dan dianggap sebagai pemimpin global seperti yang dihasrat berdasarkan projek the New American Century ( PNAC ). Mereka mahu sentiasa kelihatan macho, garang dan sangat jantan. Ini tercermin dalam dasar rasmi Akademi Ketenteraan Amerika yang berurat dari doktrin Wolfowitz. Sebagaimana yang diucapkan oleh beliau sendiri, "America has and intends to keep military strengths beyond challenge", ia mahu dunia mengakui kehebatan, kelebihan dan keunggulannya. Malah mereka sanggup pergi lebih jauh lagi dari itu, supaya dunia memandangnya bukan sebagai polis dunia, pembuli atau lanun yang telah ditabali raja, tetapi Tuhan. Mereka mahu mengambil peranan Tuhan, "give them what is God". Di sebalik wajah garang itu, mereka mahu kelihatan amat manusiawi; memburu dan menghukum pengganas, menyelamatkan sesebuah negara daripada kekejaman pemerintah diktator serta melindungi warga dunia dari ancaman senjata pemusnah 'negara-negara liar' yang dimusuhinya.

Sejarah sudah cukup banyak mengajar kita tentang siapa atau lebih tepatnya, apa itu Amerika. Di Indochina;Vietnam, Laos dan Kemboja, di Grenada, Iraq dan Afghanistan, serta Jepun selepas pengeboman Pearl Harbour, mereka telah membunuh jutaan rakyat peribumi yang tidak berdosa secara kejam dan tanpa perikemanusiaan. Mereka mahu membuktikan bahawa Amerika boleh bertindak sewenang-wenang kepada siapa saja dan untuk alasan apa saja, tetapi berselindung di sebalik ungkapan dan perkataan paling lunak dan manusiawi. Mereka tidak pernah merasa bersalah dan perlu memohon maaf. Mereka tidak akan mendengar rintihan dan keluhan dunia. Tindakan mereka hanya untuk memenuhi suatu tanggungjawab sakral, a noble cause dan misi 'mengajar adab'.

Amerika pasti akan datang membawa tangannya yang disememehi seribu angkara dan durjana, tidak kira diceruk dan pelosok mana kita berada. Tanpa disedari mereka sebenarnya adalah mangsa kepada ideologi ciptaan sendiri, ideologi 'political correctness yang idiotic', sepertimana yang diungkap dengan bernas oleh Dato' Dr Hassan Ahmad dalam bukunya Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal.






Pemerintahan Maharaja Caligula hanya bertahan selama empat tahun. Beliau memerintah Rom secara kukubesi dan meninggalkan banyak kenangan pahit di kalangan rakyat Rom. Sebagai pemerintah ketiga setelah menggantikan bapanya Germanicus, beliau digeruni oleh setiap rakyat jelata kerana dianggap gila, tindakannya yang merosakkan, pantang dicabar dan menyimpan cita-cita untuk melebarkan sayap pengaruhnya hingga ke wilayah Inggeris walaupun tidak kesampaian. Kata-katanya yang tersohor, "oderint dum metuant" ( biarkan mereka benci selagi mereka dibelenggu ketakutan ) merupakan semboyan kediktatoran beliau.

Semboyan yang sama kini bergema dengan begitu nyaring sekali. Ia digenta oleh Amerika yang berhasrat untuk mencapai matlamat Pax Americana ke arah pembentukan dunia unipolar. Percaturan kuasa dibuat, sekutu diikat, negara yang hendak dikambinghitamkan dicari, jalan cerita direka dan operasi pun dimulakan. Ceroboh, ganas, sabotaj, mogok, sekatan antarabangsa dan perang merupakan hukuman ( verdict ) ke atas mana-mana negara yang hendak dijadikan mangsa. Pusat perancangannya bermula di Rumah Putih dan Pentagon. Apa yang penting ialah Amerika mesti dilihat sebagai suatu kuasa yang hebat dan berperanan sebagai penyelamat dunia. Amerika mesti ditakuti walaupun dibenci.

Benjamin R. Barber dalam Fear's Empire turut menyinggung peranan Amerika dalam menimbulkan fenomena 'gempar dunia'. Peristiwa 911, menuduh Iraq menyimpan senjata pemusnah dan terakhir sekali, niat untuk menyerang Iran adalah contoh-contoh klasik dan serangkaian peristiwa lain dianggap sebagai helah politik Amerika untuk menjustifikasi tindakan seterusnya. Begitu juga apa yang cuba ditelanjangkan oleh Noam Chomsky dalam bukunya A Culture of Terrorism. Garapan yang sama juga dibuat oleh Glenn W. Smith lewat karyanya The Politics of Deciet:Saving Freedom and Democracy From Extinction. Kesemuanya menggambarkan kelicikan Amerika untuk menyarungkan wajah ganas kepada orang lain sedang ia sendiri yang merancangnya. Walaupun ada di kalangan penulis yang begitu berhati-hati menggunakan perkataan untuk tidak menampakkan kerakusan Amerika, tetapi tembelang kejahatan Amerika tidak boleh ditutup. Manakan bangkai gajah boleh ditutup dengan nyiru.

Di samping itu, politik Amerika juga dikaitkan dengan gelaran hawkish dan owlish, burung pemangsa, kepada anggota senat Amerika era Bush. John Bolton, Richard Cheney, Donald Rumsfeld, Paul Wolfowitz dan Richard Perle dianggap sebagai mewakili golongan hawkish, sementara Collin Powell pula mewakili golongan Owlish. Kedua-duanya tetap pemangsa. Tidak ada mana-mana kerajaan di dunia yang memberi gelaran binatang pemangsa kepada anggota pentadbir kerajaan kecuali Amerika. Tujuannya begitu ketara, "oderint dum metuant" - biarkan mereka benci asalkan mereka takut.

Amerika sedang menyuburkan budaya takut di kalangan wargadunia terhadap mereka sedang mereka sendiri tidak mempunyai kekuatan sepertimana yang cuba dipaksakan ke atas wargadunia supaya menerimanya. Hanya keseragaman pemikiran dan penyatuan yang boleh mengekang kemaraan Amerika dengan segala kejahatannya. Keonaran mereka perlu dibanteras dari muka bumi ini.

Pada peringkat awal, ia bermula dengan kewujudan sekumpulan Orientalis ( pengkaji hal ehwal ketimuran ). Semasa era klasikal, kita mengenali tokoh-tokoh seperti Gerbert d'Aurillac dan St Thomas Aquinus dan pada zaman moden ini penampilan Carra de Vaux dan Goldhizer meneruskan tradisi itu dengan peralihan paksi kajian. Kesemua mereka menghasilkan karya-karya yang bertujuan untuk 'mengenali' Dunia Islam secara khusus.

Sewaktu zaman klasik dahulu, mereka mendekati Islam untuk mengambil segala pengajaran bagi merapatkan jurang ilmu ( dalam konteks ini, menanamkan konsep penalaran di dalam kerangka ilmu Dunia Barat yang sebelum itu sarat dengan tahyul dan khurafat ) untuk merangsang, menyesuai dan membawa Dunia Barat ke Zaman Pencerahan atau Zaman Kebangkitan. Namun kemudian, tradisi ini diteruskan tetapi bukan lagi untuk mengambil manfaat ilmu-ilmu Islam seperti sebelum ini, ia digunakan untuk mengkaji watak, budaya dan segala yang berkaitan dengan masyarakat Islam. Tujuannya semata-mata untuk memperdaya umat Islam lalu memasukkan mereka dalam sangkar ilmu yang penuh dengan pembohongan dan kekeliruan. Para orientalis digunakan untuk menyusun strategi penjajahan melalui tajaan syarikat multinasional mereka ketika itu, VOC Belanda dan Syarikat Hindia Timur milik British. Dari sinilah kemungkinan bertunas dan mekarnya konsep politik pembohongan ( the politics of deceit ) .

Keadaan ini membuka tirai baru dalam hubungan Barat dengan Timur. Waktu Dunia Barat memasuki Zaman Kebangkitan, Dunia Islam pula terperuk di dalam kandang manusia bersalah setelah mereka terjajah ( akibat kerosakan yang berlaku di kalangan pemimpin mereka ) dan melihat Dunia Barat dengan penuh takjub lalu terpesona terhadap segala pencapaian dan kegemilangannya. Dunia Islam menghadapi impak kebudayaan Barat yang sangat hebat. Timbul perasaan kompleks rendah diri, kehilangan arah dan tenggelam punca di kalangan umat Islam. Mereka cuba mengisi kekosongan ini dengan menanam perasaan palsu dan merasai kelunakan igauan tentang kehebatan masa silam mereka. Bagi sesetengah cerdik pandai Islam, impak ini seolah-olah mendabrak mekanisme pertahanan diri hingga mereka terpaksa menyerah sepenuhnya kepada Barat.

Selepas itu, umat Islam berhadapan pula dengan tulisan-tulisan apologetik yang cuba meletakkan Islam dalam gagasan kemajuan Barat. Ia diterajui oleh sebilangan pemikir Barat diikuti kemudiannya oleh cendekiawan Islam sendiri. Para cendekiawan dan ahli politik Islam terperangkap dalam putaran ganas politik pembohongan yang begitu sistematik, realistik dan amat memukau.

Pada hakikatnya, rangkaian dan tradisi politik pembohongan ini berterusan sehingga sekarang, tetapi mengambil wadah yang sedikit berlainan - manipulasi media. Ia kini diurus-kendali oleh Amerika dan konco-konco mereka. Sasaran mereka tetap kepada Dunia Islam. Muncung meriam kini dihalakan ke benteng pertahanan umat Islam, itupun jika umat Islam masih mempunyai sistem pertahanan diri. Namun, bedilan telahpun dibuat oleh mereka.








Suatu sudut pandangan dari negeri China, tetapi sesuai untuk setiap negara yang sedang membangun. Sajak ini ditulis oleh Profesor Emeritus Fizik, Dr Duo-Liang Lin dari Universiti Buffalo, Amerika Syarikat dan dipetik dari Laman Blog Matthias Chang, Future Fast Forward. Sajak ini diterjemahkan secara harfiyah untuk renungan kita bersama.

Tatkala kami digelar Orang Sakit Asia, kami dianggap sebagai Bahaya Kuning

Apabila kami disebut sebagai bakal Kuasa Besar Dunia yang baru, kami disifatkan sebagai Ancaman

Ketika kami menutup pintu, kamu menyeludup dadah untuk kembali membuka pasaran

Semasa kami mengamalkan Pasaran Bebas, kamu tuduh kami cuba mengambil-alih tugas-tugas kamu

Pada waktu kami sedang hancur berantakan, kamu masuk menceroboh dan menuntut bahagian kamu

Setelah kami berusaha untuk membina kembali keruntuhan itu, kamu menyanggah agar kami memerdekakan Tibet kerana ia suatu penaklukan

Apabila kami cuba menjiwai Komunisme, kamu membenci kami kerana menjadi komunis

Namun tatkala kami menganut Kapitalisme, kamu juga membenci kami kerana menjadi kapitalis

Kerana rakyat kami berjumlah 1 billion orang, kamu kata kami sedang menghancurkan bumi ini

Ketika kami cuba menghadkan bilangan kami, kamu menuduh kami melanggar hak-hak asasi manusia

Ketika kami miskin, kamu sangka kami anjing

Apabila kami meminjamkan kamu tunai, kamu menyalahkan kami tentang hutang negara kamu

Pada masa kami membina industri-industri kami, kamu mendakwa kamilah punca pemanasan global

Tatkala kami membeli minyak, kamu menganggapnya sebagai eksploitasi dan pembunuhan

Namun apabila kamu berperang kerana minyak, kamu mengatakan bahawa ia adalah misi pembebasan

Sewaktu kami tenggelam dalam kemelut dan huru hara, kamu menuntut ditegakkan undang-undang

Ketika kami berpegang kepada peraturan dan undang-undang, kamu anggap kami memperkosa hak asasi manusia

Apabila kami membisu, kamu mahukan kebebasan bersuara

Setelah kami bersuara, kamu sifatkan kami sebagai pembenci bangsa asing yang telah dicuci otak

Kenapa kamu sangat membenci kami?

Kamu jawap, tidak, kami tidak membenci kamu

Kami juga tidak membenci kamu, tetapi adakah kamu memahami kami?

Sudah tentu, kata kamu. Kami mempunyai AFP, CNN dan BBC...

Apa yang kamu hendak daripada kami?

Berfikirlah dulu sebelum menjawab... kerana peluang kamu amat banyak

Cukuplah setakat ini. Sudah cukup tembelang kemunafikan untuk Dunia Yang Satu ini

Kami mahu Satu Dunia, Satu Impian dan Keamanan di Bumi

Bumi bundar biru yang besar ini cukup besar untuk semua orang

Duo-Liang Lin, Ph.D
Profesor Emeritus Fizik
Universiti Buffalo
Amerika Syarikat

Email : DLLIN@buffalo.edu

Niccolo Machivelli ( 1469-1527) dalam The Prince yang terbit sekitar tahun 1513 menyebut, "Denying the relevance of morality in political affairs and cruel, decietful tactics are justified in the act of pursuing and maintaining power. This implies that in the conquest for power the end justifies the means"; untuk mendapat kuasa dan demi mencapai matlamat, segala cara boleh digunakan. Cara yang dmaksudkan termasuklah segala perkara yang terangkum dalam daerah haram, tidak bermoral, anti kemanusiaan dan menjijikkan. Kaedah ini menguatkuasa hukum rimba, yang kuat itu benar. Ia memijak dan melangkah adab dan kesusilaan, ibarat senjata yang tidak bermata serta menganut prinsip yang amat rapuh. Bagi mereka yang terjebak, Tuhan seolah-olah boleh diajak berunding.

Dalam proses menuju Pemilihan Agung UMNO, fenomena ala Machiavelli sangat berleluasa. Calon-calon yang merebut jawatan masing-masing memasang strategi untuk mencapai matlamat. Para hulubalang dilantik untuk membawa mesej, menabur janji dan mengikat kesetiaan bagi pihak calon. Setiap pasukan yang bertugas akan disediakan dengan segala kemudahan, asalkan rancangan mengena sasaran. Semangat perlembagaan dan maruah parti diketepikan, malah dikhianati. Nilai persaudaraan dan setiakawan berada di hujung tanduk. Segala-galanya dilangkau semata-mata kerana kuasa. Benarlah kata-kata Lord Acton (1834-1902), "Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely".

Apa yang sangat menyedihkan ialah gejala tersebut membiak dan menular dalam sebuah parti yang rata-rata ahlinya terdiri daripada orang Islam. Dari atas permukaan, kita seakan-akan melihat para pemimpin sebagai wali hidup yang membenci segala bentuk kecacatan akhlak dan kemunkaran, mengajak rakyat kepada kebaikan dan penyatuan. Tanpa merasa sedikit pun janggal, mereka menyeru rakyat agar membuang jauh segala angkara dan kedurjanaan yang menggerogoti imej dan maruah bangsa. Sekadar retorik. Mereka berhujah untuk memukau dan bermain dengan perasaan rakyat, argumentum ad hominem. Ada double standard. Selepas itu, saban hari kita dijamu dengan berita-berita tentang penyalahgunaan kuasa, rasuah, skandal dan beraneka ragam kepincangan yang melibatkan para pemimpin. Jika ini dinafikan, kenapa semua orang berkata dan menjaja di merata-rata? Masakan pokok bergoyang kalau tidak ditiup angin. Ke mana akhirnya semua ini?

Pemimpin bangsa harus berdiri dan menaungi para pengikut sebagai manusia yang bertanggungjawab dan amanah. Mereka mesti cemerlang dari segi akhlak. Perwatakan mereka harus lulus ujian; ujian zaman dan tanggunggan. Jatidiri pemimpin harus kental dan tidak senipis kulit bawang.

Kuasa bukanlah anugerah dan keistimewaan. Kuasa adalah amanah dan penanggungjawaban. Ia akan dipersoalkan kelak ketika keluarga, rakan dan taulan sudah tidak dapat membantu.





Dunia ini dibelah kepada tiga kategori: Dunia Pertama atau dunia kapitalis, Dunia Kedua, negara-negara yang masih mengamalkan komunisme atau sosialisme dan Dunia Ketiga, negara-negara yang masih dianggap mundur atau sedang membangun. Pada hakikatnya, walaupun sudah terapung konsep dunia tanpa sempadan atau perkampungan global, ia hanya terkurung dalam batas-batas penyebaran maklumat dan transaksi urusniaga. Imbangan kuasa di antara ketiga-tiga dunia agak pincang kerana dalam kebanyakan situasi, Dunia Ketiga lebih merupakan kancah rebutan khazanah dan agihan spera pengaruh antara kesepakatan Dunia Pertama dengan Dunia Kedua. Ia sebenarnya adalah jelmaan dari hubungan dua golongan: golongan mustakbirin ( penindas ) yang mewakili Dunia Pertama dan Dunia Kedua dengan golongan mustad'afin ( tertindas ) yang mewakili Dunia Ketiga.

Apabila kerajaan Dr Muhammad Mussadeq cuba menghakmilik-negarakan Anglo-Iranian Oil ( kemudian British Petroleum ) dalam tahun 1951, ia menggemparkan seluruh 'dunia bertamadun' dari Dunia Pertama dan Dunia Kedua. Sekatan antarabangsa dikenakan ke atas Iran hingga akhirnya membawa kepada pengembalian singgahsana merak Pahlavi hasil kodeta yang dicatur CIA. Semenjak itu, cengkaman Amerika ke atas Iran bertambah jitu dan Iran terpaksa duduk bercokol dalam dokongan dan manipulasi Amerika sehinggalah berlakunya kebangkitan rakyat Iran sekembalinya Ayatullah Khomeini memimpin revolusi tahun 1979.

Di pentas politik antarabangsa, peragaan konsep seperti bantuan kemanusiaan dan pembangunan, rangkaian pusat urusniaga komoditi, dialog Utara-Selatan, pemekaran budaya konsumerisme, peperangan proksi serta penjajahan bentuk-bentuk baru melalui media dan pusat pembelajaran ( sekolah dan IPT ) adalah bertujuan untuk mengekalkan kerangkakerja ekonomi-politik golongan mustakbirin. Pengekalan hubungan mustakbirin-mustad'afin dalam bentuk keterikatan mustad'afin akibat terhutang budi dengan pakej bantuan dan hubungan diplomatik ( tertakluk kepada takrif ) mustakbirin, beneficium accipere libertatum est vendere, mendominasi senario politik antarabangsa untuk sekian lama. Pola hubungan ini dikekalkan untuk menjamin status quo mustakbirin.

Penindasan dalam konteks hubungan ini tidak semata-mata dicirikan oleh faktor kemiskinan. Tema besarnya ialah kebebasan untuk menentukan halatuju tanpa terikat dengan mana-mana pihak dan kebebasan inilah yang sangat dikhuatiri oleh golongan mustakbirin. Mereka bimbang pengasingan negara-negara dari stratifikasi Dunia Ketiga akan membawa malapetaka terhadap amalan eksploitasi mereka. Pembebasan, bukannya pembangunan dan kemakmuran ekonomi yang boleh memacu pengasingan ini. Jika berlaku percubaan untuk merungkaikan pengkategorian ini, mereka akan mengatur strategi baru bagi menghadapinya. Pada waktu ini, strategi yang paling berkesan ialah menaburkan fenomena 'keganasan' - wujudnya puak militan yang ada kaitan dengan pengganas, adanya negara yang kononnya menjadi dalang kepada pengganas, tersimpannya senjata pemusnah yang mengancam dunia dan sebagainya.

Anehnya, setakat ini hanya orang-orang Islam dan negara-negara Islam saja yang menjadi sasaran. Dunia Islam yang dipaksa menerima hakikat pembahagian mereka sebagai Dunia Ketiga menjadi mangsa kepada percaturan pola hubungan itu.

Persoalannya, bilakah pula akan berlakunya kebangkitan golongan mustad'afin untuk merubah dunia dan melenyapkan pengaruh golongan mustakbirin dari terus mencengkam?










Perubahan adalah suatu yang endemik dalam kehidupan manusia. Robert H. Waterman Jr. dalam The Renewal Factor menyebut bahawa "the constant is change" ( yang tetap itu perubahan ). Menyekat perubahan dianggap sebagai pekerjaan yang sia-sia dan mustahil. Tidak ada 'kemajuan', bagaimana sekali ia didefinisikan, yang akan berlaku tanpa perubahan. Malah katak di bawah tempurung pun akan berubah pada setiap hari, malah setiap detik dan ketika. Perubahan bergerak di atas premis harian atau detikan, sentiasa bergerak tanpa henti bagai air deras yang mengalir luncur. Perubahan adalah suatu proses pertumbuhan atau pembangunan. Ia juga merupakan proses kemunduran atau keruntuhan.

'Berani Berubah' adalah suatu aphorisme serta suatu percubaan niat untuk merungkai kebiasaan. Ia menjadi indikator suatu pihak yang tidak berpuas hati terhadap keadaan dan gelagat sedia ada. Ia mahu membentuk suatu kelainan dan mencipta perbezaan. Ia mahu meninggalkan kerangka tabiat yang membudaya lalu menggantikannya dengan yang lain. 'Berani Berubah' yang dipersembahkan oleh kelompok Dato' Mukhriz kemungkinan berhasrat untuk membongkar kebiasaan dalam sektor kepemudaan yang sudah hilang semangat, wibawa, halatuju, matlamat dan pengisian. Ia mahu meningkatkan upaya ketrampilan organisasi, penguasaan teknologi tinggi, penyempurnaan karakter dan watak yang menerasi agama dan budaya bangsa, mencorak sektor kepemudaan dengan lebih berprinsip dan bergaya, merintis kembali gerak langkah para leluhur yang pernah mencipta sejarah sambil menebus maruah pemuda yang selama ini agak tercalar dan tenggelam dalam lumpur kebasian sikap dan pendirian. Pendeknya, ia mungkin beragenda 'meruntuh dan membangun'; meruntuh segala amalan dan tradisi bebal sambil membangunkan di atas keruntuhan itu 'pemuda Melayu yang memiliki kemantapan semangat dan kebulatan watak'.

Dalam rangka memenuhi tuntutan tersebut, sektor kepemudaan harus memperbanyak dan mempelbagaikan program pengisian yang selama ini kehilangan - pengisian terhadap pembinaan jatidiri ( yang berkurikulum dan berpanjangan ), mahathabah berterusan ( untuk sentiasa memeriksa kekurangan dan memperbaiki kelemahan ) serta memperkasa ilmu dan amal Islam ( supaya tidak berlaku lencungan di perjalanan ), di samping mengukuhkan ikatan ukhuwah Islamiyah sesama anggota, menjabat persaudaraan kerana agama dan darah keturunan Zaman pemuda kompang dan pintu gerbang , pemuda 'ada wang ada balas' harus ditinggalkan. Pemuda harus kemas terisi dengan segala ilmu dan kekuatan yang melayakkan mereka untuk menjadi pemusaka agung agama dan bangsa; pemusaka risalah ilahiyah dan budaya wataniyah. Mereka harus jadi generasi Rabbi Radhiya yang selafaz dan sesemangat doa Nabi Ibrahim ke hadrat Allah.

Sektor kepemudaan yang Berani Berubah wajar menyematkan tekad untuk memberi makna dan isi kepada pepatah 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung', ubi bene ibi patria; semboyan yang dikumandangkan bagi kedaulatan bangsa di bumi bertuah ini. Mereka tidak akan mundur kerana kritikan dan asakan atau mara kerana pujian dan sanjungan. Mereka menyerlah dan mengungguli segala-galanya.

Pemuda Berani Berubah diharapkan dapat menjadi generasi paling konstruktif dan kontributif dalam memikul amanah perjuangan bangsa agar patah tumbuh hilang berganti dan esa hilang dua terbilang.










Kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah di Turki dengan tertegaknya negara sekular Turki moden di bawah teraju Kamal Atarturk dilihat oleh para sejarawan sebagai plot perkisahan yang dilatari oleh adu domba dan skema rahsia Yahudi. Rakyat dikekang dan dipaksa untuk menerima perubahan atas nama 'kemajuan' dan 'pembangunan'. Segala legasi, ketinggian peradaban dan dinamisme Islam tertanam jauh ke dalam perut bumi. Umat Islam tercabut dari akar tradisinya dan dilepaskan bagai anak ayam kehilangan ibu. Sekongkolan tripartite Yahudi-Amerika-Inggeris sudah mencapai puncaknya ketika itu.

Rentetan dari peristiwa itu, lanskap politik dunia berubah dengan kemunculan dan kewujudan negara bangsa baru yang merdeka. Masing-masing mencarta haluan dan matlamat negara yang baru terlepas bebas dari kongkongan penjajahan secara menyendiri dan berasingan. Apa yang jelas ialah peminggiran Islam dan proses penghakisan tret, nilai dan pandangan alam ( worldview ) Islam daripada pemikiran umatnya. Yahudi melalui panji Dunia Barat menuangkan segala kekotoran ke dalam kotak pemikiran umat sehingga ia menjadi sangat tercemar dan keliru. Segala-gala yang dilakukan oleh Dunia Islam tidak akan terkeluar dari garis sempadan yang dipancang oleh Dunia Barat. Contoh klasik lain ialah apa yang berlaku di Mesir.

Kelahiran Muhammad Abduh dengan pemikiran radikal Islamnya tidak mampu menahan impak ganyangan Yahudi. Pola masyarakat Mesir sudah berubah. Kecenderungan mereka sudah dianjak. Islam hanya digunakan untuk menguruskan soal buaian dan kuburan kerana yang lain sudah diserahkan kepada kebijakan Barat vis a vis komplot Yahudi. Begitulah yang terjadi pada sebilangan pemimpin Mesir.

Anwar Sadat berjaya merubah suatu pergerakan massa menjadi sebuah 'revolusi' pada tanggal 15hb Mei, 1971. Ada kalangan yang menganggap ia setaraf, jika tidak pun lebih berjaya dari kodeta Gamal Abdul Nasser pada 23 Julai, 1952 di Mesir. Beberapa hari selepas peristiwa besar itu, Anwar Sadat terus memberi ultimatum kepada rakyat Mesir, "illi yaftah buqquh ha afrumuh" ( saya akan cantas siapa saja yang membuka mulut ). Tidak harus ada penentangan, kebangkitan atau bangkangan kerana Anwarlah satu-satunya ketua, the boss; summa sedes capit non duos ( hanya seorang sahaja yang perlu berada di atas ). Seperti biasa, guru, dalang dan sekutunya adalah Yahudi dan Amerika. Kemudian kita melihat Mesir mengalami proses pembaratan ( westoxication ) yang amat galak dan giat walaupun masih berdirinya Universiti Al-Azhar yang kononnya disifatkan sebagai antara benteng pertahanan umat yang terakhir.

Ada percubaan beberapa pemimpin dari Dunia Islam untuk melepaskan leher dari jerutan dan belenggu Yahudi, tetapi nyata kekuatan mereka tidak setara mana. Yahudi-Amerika hanya boleh dikalahkan dengan penyatuan di kalangan seluruh umat manusia dan unsur pemersatunya hanya ada pada Islam. Bukan Islam wayang atau dibonekakan.












Ada pihak mahu supaya TDM tidak meneruskan hasratnya untuk mendedahkan senarai nama perasuah yang sedang kalut merebut jawatan dalam PAU. Mereka mahu TDM memikir kesannya yang sangat detrimental kepada para calon jika mereka memang tidak bersalah. Apakah mereka tidak pernah memikirkan betapa gejala rasuah yang memekung dan bernanah dalam UMNO akan merebak, berjangkit dan membunuh UMNO, terutama sekali pada waktu sekarang yang memperlihatkan UMNO tidak lagi dianggap raison de'tre orang Melayu. Apakah mereka tidak melihat bangsa Melayu sedang hancur berantakan, justeru parti yang menerajui kerajaan dan menggubal segala perancangannya sedang dilanda sindrom mors tua, vita mea ( awak harus mati - dalam konteks ini kerjaya politik - agar saya hidup ) walau dengan harga berapa sekalipun.

Amanah untuk mengangkat martabat dan maruah perjuangan Melayu tidak boleh digalas oleh mereka yang ketandusan akhlak, tipis iman, masalah-masalah peribadi yang bergayutan di sekeliling pinggang dan memberatkan langkah, ada skandal, mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Wadah perjuangan orang Melayu harus dipimpin oleh kalangan yang bersih, berwawasan dalam rangka menjulang kewibawaan bangsa, tidak self-centred dan yang jauh lebih penting, berakhlak. Pemimpin yang berakhlak bukan hanya bererti orang yang berpakaian rapi, cara jalan dan makan yang penuh beretiquette, sopan dalam tutur kata dan seumpamanya. Akhlak seorang pemimpin harus bulat; mengakar pada tuntutan agama dan adat budaya bangsa. Akhlak mereka seharusnya bersifat murabbi; membangun dan mendidik para pengikut untuk sentiasa peka dan siapsiaga dalam menjalani proses tazkiyatu'l-nafs ( penyucian diri, lahir dan batin ). Mereka bijak untuk mengukur dan menilai skala keutamaan perkara, membaca keadaan dengan penuh pengertian dan hemah serta menggarap sebarang persoalan secara kemas dan mantap. Kesemuanya diusap dengan iman dan taqwa kepada ALlah serta kecintaan kepada bangsanya.

Suka tidak suka, kita harus mengakui bahawa kebanyakan mereka yang sedang giat berpencak merebut tahta sudah boleh dianggap tidak relevan lagi; kerelevanan dalam ertikata memikul mandat dan amanah perjuangan bangsa. Ramai daripada kalangan mereka yang menyudikan pertarungan kini berhadapan dengan pelbagai fitnah dan tohmahan serta tuduhan dan dakwaan. Sekiranya ia fitnah dan tohmahan, tidak ada apa yang harus mereka bimbangkan. Sebaliknya pula, jika ia dakwaan dan tuduhan yang mempunyai asas terjebaknya mereka dalam perlakuan onar dan kemunkaran, mereka harus berundur dan yang lebih penting, bertaubat kerana mengkhianati amanah perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Di samping itu, gelagat tidak membenarkan atau sekurang-kurangnya menghadkan kebebasan bersuara dalam UMNO, enggan menerima kritikan secara terbuka dan berlapang dada serta mengesampingkan budaya nasihat-menasihati, UMNO, khususnya para pemimpinnya, harus belajar dari sejarah. Sikap sedemikian tidak akan mendatangkan keuntungan kepada parti apatah lagi bangsa. Ia akan pasti membawa keruntuhan. Segala pembesar dan pemerintah terdahulu tersungkur menyembah bumi apabila gejala-gejala ini terpelihara dan subur merajalela. Tidak ada yang terkecuali.

Untuk meruntuh atau membangun, tidak ada siapa yang harus memikulnya melainkan diri kita sendiri, tepuk dada tanyalah selera.




Stuart E. Eizenstat yang dijangka akan dilantik sebagai penasihat kanan pentadbiran Obama mahu jadikan negara ini sebagai penghubung kepada negara-negara Islam lain. Ini berikutan Obama dikatakan tertarik dengan pendekatan sederhana dalam beragama atau Islam Hadhari yang diamalkan di negara ini.

Adegan melodrama Amerika terhadap Islam patut dilihat secara hati-hati, curiga dan pada darjah kepedulian yang tinggi. Ada sesuatu yang tidak kena jika Amerika bersetuju dan mengiktiraf sesuatu, kerana selama ini Amerika tidak pernah menerima Islam seadanya ( what it is ), apatah lagi Islam yang sebetulnya ( what ought to be ). Amerika sedang memasang jerat untuk memerangkap pelanduk yang beragan. Sepanjang ini, umat Islam dan negara-negara Islam hanya menjadi sasaran dan medan pertumpahan darah bagi Amerika sama ada ia sendiri bertindak menceroboh atau menggunakan proksi untuk melancarkan skema bejatnya.

Amerika mempunyai takrif yang tersendiri tentang Islam. Islam ala Amerika ialah pengabdian semurninya terhadap segala kehendak Amerika. Pengalihan kiblat ke Tel Aviv, penerimaan tanpa soal segala resolusi PBB yang menjadi forum untuk mengesahkan tindakan dan kepentingan Amerika, mengambil pakai Islam sekadar kosmetik atau retorik dan senaman bibir, pembasmian jihad dengan segala semangat dan manifestasinya, menyemarak budaya kegelojohan yang dilembagakan, mengawal perubahan dalam batas-batas keizinan Yahudi dan sebagainya adalah antara ciri dalam pentakrifan itu. Islam ala Amerika adalah Islam yang gersang dari ruh iman. Melihat Islam melalui kacamata Amerika sudah tentu dalam gambaran yang penuh kecacatan, songsang dan mengelirukan. Sekiranya Amerika menilai dan menerima sesuatu perkara itu sebagai baik dan kontributif, sudah pasti ia menepati standard yang mereka tetapkan untuk menjamin kepentingan dan kelangsungan dominasi politik mereka. Seperti juga keadaannya apabila mereka berjaya mencucuk hidung Pakistan, Arab Saudi dan negera-negara Timur Tengah yang lain.

Para pemimpin kita jangan terpedaya dengan kelunakan Amerika, walaupun ia bagai merentang jambatan emas ke pulau santuari. Tiada apa yang baru dalam taktik Amerika. Mereka memukul gendang dan lagu yang lama, dan kita harus memantangkan diri untuk menari bersama.








Apa yang hendak kita katakan tentang peribadi Melayu ini. Negarawan ulung, akitek bangsa, atau apa? Beliau pernah digelar MahaFiraun, Ultra-Melayu, Wira Dunia Ketiga dan bermacam lagi. Panggilan mesranya Che Det sentiasa bermain di bibir rakyat jelata. Seorang doktor perubatan yang gemar menyendiri sewaktu senggang dalam dunia DIY ( Do It Yourself ) kerana memiliki perkakasan lengkap seorang tukang kayu. Beliau pernah merawat pesakit tanpa sebarang bayaran kerana perasaan ihsan yang mekar dan berbunga dalam jiwanya, punya stamina dan tenaga yang luar biasa ketika bekerja dan menekuni tanggungjawab.

Sudah banyak memoir, autobiografi dan selingkaran kisah peribadi ditulis orang mengenainya dan kesemua digubah menurut persepsi dan penilaian yang tersendiri. Ketika orang sibuk berbicara dan berartikulasi tentang tema-tema besar seperti era dunia digital, Gelombang Ketiga, perkampungan global, pertembungan peradaban, abad Asia dan terpukau dengan jargon akademik lumayan seperti pemikiran lateral, pemetaan minda, lonjakan gergasi, ledakan maklumat dan seumpamanya, beliau kelihatan bersahaja, tetapi mendasar, membumi dan merakyat. Selama 22 tahun beliau menempuh onak dan menggagahi tribulasi. Ini belum lagi kita mengambil kira penglibatan dan pengorbanan beliau sebelum tempoh itu. Apa yang dapat kita katakan tentang peribadi Melayu ini.

Wawasan dan pencernaannya melangkaui zaman. Gagasan dan garapannya menembusi beberapa lipatan horizon. Beliau pernah tegak menongkah arus dan berpirau melawan asakan. Ketika orang gementar berhadapan dengan dua kuasa besar dunia suatu ketika dahulu, beliau merangka rancangan-rancangan yang akan mengangkat martabat bangsanya, mengajak untuk berfikir di luar kotak, mencetuskan kegemparan, memukul canang untuk merombak kebiasaan dan menggugat status quo. Tatkala diapungnya ide untuk mara menuju NIC - Negara Perindustrian Baru - meneroka di luar batas kesederhanaan dan mempersiapkan anak bangsa untuk menyambut cabaran dunia teknologi tinggi, meningkat upaya pemikiran dan ketrampilan; ramai yang skeptikal, malah berprasangka dan melemparkan pelbagai tuduhan.

Gegak suaranya mengimbau ke dasaran hati sambil membangkitkan kesedaran tentang erti suatu Bangsa Besar yang agung. Kehadirannya di pentas antarabangsa sangat dinantikan kerana ketulusan dan keberanian beliau menyuarakan pandangan. Beliau tidak mewakili Timur dan Barat ( walaupun kenyataannya sering cenderung ke Timur ), tetapi setiap kalimat yang dituturnya membawa isi dan erti kepada warga dunia, apatah lagi bagi mereka yang terpinggir, tertindas dan teraniaya.

Siapakah gerangannya watak dan peribadi Melayu ini? Ketika dunia menghadapi zaman-rosot tahun 1997 yang digambarkan mungkin lebih dahsyat dari the Great Depression, beliau menangkis dengan membawa pendekatan yang sama sekali berbeza. Beliau mengemukakan formulanya lain dari yang lain. Rakyat terlepas dan terselamat dari jerangkap samar yang dipasang oleh penggodam sistem kewangan dunia. Matthias Chang dalam Future Fast Forward:The Zionist Anglo-American Empire Meltdown menulis dalam kata pengantarnya tentang beliau, "...to Tun Dr Mahathir Mohamed, a great patriot who almost single-handedly defied the odds and defeated the Zionist international financiers during the 1997 financial crisis so that Malaysia remain independent. In a way, this is also my 'thank you' for his sacrifices in that incredible battle". Kini, Amerika dan negara-negara Eropah yang sedang menghadapi krisis kewangan meruncing terpaksa mengguna-pakai formulanya untuk menyelamatkan keadaan.

Memang beliau pemimpin Melayu yang memiliki sentuhan tangan ajaib, watak Melayu yang memperlihatkan suatu kelainan dan keluarbiasaan. Sejarah jarang sekali dapat melahirkan peribadi-peribadi terbilang yang sebegini dan bangsa Melayu amat bertuah kerana memilikinya. Apa yang dapat kita katakan tentang beliau...in a way this is also our 'terima kasih' for his sacrifices.


Ide megalomania peralihan kuasa 16 September sudah lama meninggalkan kita. Ia kini berpindah ke Sarawak untuk mencari sebuah 'kerajaan Pertapaan' baru bagi memperbaharui iltizam dan semangat para pendokongnya. Dari aspek masa, ia tampak elusif dan sebuah ilusi, tetapi ramai yang terliur menunggu saat-saat beraraknya awan mendung, terserlahnya zaman perubahan sementara seluruh sistem mengalami reformasi total.

Kita diwar-warkan tentang kesamarataan, meritokrasi, ketelusan bermikron paling halus, leburnya identiti bangsa dalam sistem keadilan paling manusiawi; ia suatu manifesto sejagat; semacam ex caelis oblatus ( bingkisan dari syurga ). Kita akan menunggu lahirnya biarawan-biarawan baru bagi menabur janji dan memperbaiki nasib agar di kaki langit pada waktu senja ini masih kedapatan cahaya yang memancar.

Di suatu pihak yang lain pula, kita berhadapan dengan bahana 3 'ta' yang semakin mencengkam, menular dan merebak. Bahana tiga 'ta'; harta, tahta dan wanita, khususnya di kalangan para pemimpin orang Melayu. Sudah serik kita mendengar tentang kecelakaan yang menimpa bangsa akibat terjebak dalam hubaya yang menyesatkan ini. Skandal dan gosip kerana wanita, intipan dan penelajangan aib kerana tahta, permusuhan, dendam dan sengketa kerana harta; kesemuanya sedang marak membakar bangsa Melayu hingga menjadi debu. Benarlah kita bukannya malaikat yang tidak bernafsu, benar juga pepatah yang mengatakan 'bumi mana yang tidak ditimpa hujan' dan benar pula ungkapan yang acapkali digunakan untuk bersikap apologetik, 'kita ini manusia biasa'.

Tetapi apakah tidak adanya suatu mekanisme yang boleh menghindarkan kita dari berputar dalam lingkaran ganas ini? Apakah orang Melayu sudah hilang pertimbangan sehingga lupa Tuhan? Kembalikanlah kewarasan dan santuni ketuhanan, bangsa Melayu akan kembali tegak bermaruah.




Parti politik yang menulangbelakangi pemerintahan sedang mengalami fasa percubaan paling getir dan dahsyat. Ia dicabar oleh pelbagai anasir luar dan dalam. Ia menghadapi polarisasi; sekelompok orang dan segugus sikap yang beragam. Ia mengalami benturan yang bukan kepalang. Ia sekarang berada di perambangan, sama ada maju teratur atau mundur terpukul.

Pada pandangan umum, vox populi, UMNO sedang sakit. Ia sedang menderita penyakit yang tidak kunjung sembuh. Penyakitnya berbagai-bagai; penyakit zahir dan penyakit batin. Ia tidak boleh dibedah kerana risikonya tinggi. Mantra dan jampian bomoh hanya mencecah sisi poket dan tidak merawat punca. UMNO perlu menjalani terapi; mengesan akar dan mengubat punca serta menghidupkan kembali semangatnya yang kian padam.

Dari Kangar sampai ke Miri, dari Sabang hingga ke Merauke, dari Narathiwat ke Pattani, umat Melayu mahu lihat UMNO sembuh sepenuhnya; kerana jasanya kepada umat Melayu tidak sedikit, khususnya dalam melonjak wibawa dan maruah bangsa. Tetapi ia tidak mungkin berlaku jika UMNO membiarkan kuman dan bakteria merebak dan menjamah batang tubuhnya yang sarat berpenyakit.

Penyakit-penyakit yang didiagnos sudah berkarat dan terlalu berat. Ia berpunca dari seketul hati. Bukan hepatitis dan meningitis atau berkaitan dengan kardiovaskular dan sistem pernafasan. Ia lebih dari itu. Ia mengalami kanker ( bukan kanser ), ya kanker; kantong kering. Dari kankerlah timbulnya saling tidak percaya dan curiga ( mutual mistrust and suspect ), mekarnya kesombongan kelompok ( sectarian pride ) hingga membawa kepada saling menyendiri ( mutual exclusiveness ), membudayanya amalan membodek dan terlepas pandang, kacaunya skala penilaian ( sudah tidak ketahuan yang mana intan dan yang mana kaca ), menularnya kebencian sesama sendiri, hilangnya kewibawaan dan jatidiri, tenggelamnya daya dan semangat, membibitnya fenomena retak menanti belah, matinya kejujuran dan mebiaknya kepura-puraan serta sirnanya keimanan. Kesemua ini justeru membiarkan gejala rasuah ( walau apapun istilah yang cuba digantikan untuk mengesahkannya ) dan wang pungli ( pungutan liar ) menggejala.

Gejala corruptio optimi pesima ( amalan rasuah yang terbaik adalah yang terjelek ) yang sedang meratah ganas batang tubuh UMNO akan turut melondehkan maruah dan keperibadian bangsa Melayu. Hentikan kegilaan ini segera.

Seluruh orang Melayu sila baca puisi The Kingdom of Purplaya nukilan Cecil Rajendra yang terbit dalam majalah Aliran yang didedahkan oleh Datuk Dr Hassan Ahmad bawah jodol 'Puisi Yang Menghina Orang Melayu'. Saya membacanya melalui blog - http://pemudaiks.blogspot.com/ - Selamat membaca dan menilai.

Tragedi 13 Mei, 1969 dapat dianggap episod klasik dalam faham perkauman yang sudah mencapai klimaks. Ia menayangkan pembuakan semangat yang lama terpendam, meletus dan melimpahkan darah. Ia menonjolkan kegilaan yang memuncak, ketidakwarasan tindakan yang bertembung dengan amukan dendam. Kebijakan para pemimpin Melayu meredakan ketegangan dan menyabarkan bangsanya yang sudah habis perhitungan dapat menyelamatkan keadaan. Jika tidak, lenyaplah saki baki pendatang dan pupuslah petualangan.

Sewaktu kaum pendatang mengadakan perarakan keliling bandar sebagai manifestasi tour de force ( menunjuk-nunjuk kekuatan ), melaungkan slogan kebencian dan melakukan beberapa aksi menghina maruah orang Melayu - replika penyapu gergasi, berdiri di atas kereta sambil mengeluarkan kemaluan dan kencing sebagai simbol untuk membersih bumi Melayu daripada orang-orang Melayu sendiri, memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap bangsa Melayu - ia menyentak lamunan dan menyentap perasaan orang-orang Melayu. Mereka menerima reaksi spontan daripada bangsa Melayu apabila buku sudah bertemu ruas; kesabaran yang sudah sampai ke kemuncak dijawab dengan amukan oleh orang-orang Melayu. Kaum pendatang perlu diajar untuk beradab, mereka perlu ditunjukkan jalan keluar untuk kembali siuman.

Selepas itu, lahir segala macam teori penyatuan, analisis yang mencetuskan pergolakan dan formula untuk menghindar kejadian yang sama berlaku di kemudian hari. Kajian tentang pola sentrifugal ( perpecahan ) dan sentripetal ( penyatuan ) serta kemungkinan kesan akhirnya dibuat secara rinci dan mendalam. Apakah kelemahan dan kekuatan yang terdapat pada masyarakat majmuk dan bagaimana sumber kekuatan ini dapat dijana untuk memelihara kerukunan dan menjamin kestabilan? Perkara-perkara teras yang mentakrifkan keberadaan sesuatu kaum itu diminta untuk tidak diusik. Persetujuan dan pemeteraian sosial jangan diganggu-gugat. Kawasan sensitif dan isu-isu primer usah dimanipulasi. Kesemua kaum pada dasarnya bersetuju walaupun untuk tidak bersetuju dalam beberapa perkara sekunder. Masyarakat jadi tenteram seketika kerana masing-masing sedaya upaya cuba untuk surut kepada kehendak permuafakatan.

Kebelakangan ini, ada pihak yang berusaha mengeksploitasi keadaan. Timbul pelbagai isu, sikap dan tindakan yang boleh merencati kerukunan yang dinikmati bersama selama ini. Mereka menyondol dari berbagai-bagai arah, dari depan dan belakang, menyeret dan menghimpit orang Melayu sehingga ia tidak boleh bergerak. Ketika orang Melayu sibuk berlaga, memperagakan pasukan dan wawasan serta lupa yang mana satu teman dan yang mana satu lawan, silau di antara kaca dan permata, mempermainkan keikhlasan dan memperjudikan perjuangan, mereka pula sibuk mengambil kesempatan dan menggunakan titik kelemahan bangsa Melayu.

Pada waktu ini, mereka tahu bahawa Bangsa Gergasi ini sedang mabuk, kerana mereka juga tahu bahawa ular yang menyusur akar sudah ketawaran bisanya.








Pertukaran watak dalam plot politik Amerika tidak akan menjamin apa-apa kepada Dunia. Dalam beberapa dekad sebelum inipun sejarah dan nasib warga dunia ditentukan oleh imbangan kekuasaan dan hegemoni politik Amerika. Malah apa yang disebut sebagai 'balance of power' sebenarnya adalah 'balance of terror' yang teracu berdasarkan strategi, kehendak dan kepentingan Amerika.

Kita sudah mengalami dan berada sekian lama di dalam fasa soft power atau intelligent imperialism ( penjajahan pintar ) yang dimanipulasi oleh pakar perancang dan strategis Amerika. Segala-galanya diatur. Setiap perkembangan yang berlaku dalam kehidupan kita ditentukan oleh batas keizinan dan menurut skrip yang ditulis oleh Washington. Sebarang pelanggaran dan kedegilan untuk mematuhi akan pasti mengundang bencana dan menempah maut. Tambahan bajet besar bagi menampung operasi ketenteraan Amerika menjelaskan keadaannya kerana segala industri utama di Amerika - dari teknologi maya, eksplorasi angkasa, biotek hinggalah kepada hollywood - kesemuanya berkait secara langsung atau mempunyai kepentingan dengan Pentagon. Struktur dasar tertegaknya pentadbiran Amerika adalah bertitiktolak dari perkiraan peperangan.

Berdasarkan strategi Brezinski ( Zbigniew Brezinski merupakan bekas Penasihat Keselamatan Negara bagi pentadbiran Carter ), kerajaan Amerika mengguna-pakai kaedah dan langkah 'menceroboh' dalam setiap tindakannya ke atas mana-mana negara di dunia kecuali negara sekutu dan negara induknya Israel. Negara-negara yang agak buas dan liar akan dijinakkan melalui beberapa pendekatan dan metodologi. Kerangka asasnya masih bersifat agresi, antaranya:

1. menyubur rasuah di kalangan pemimpin tempatan
2. memeras-ugut pemimpin-pemimpin tempatan
3. menjalankan kempen media paling kotor dan jahat
4. pelbagai tindakan untuk menggugat kestabilan
5. sekatan dan embargo perdagangan
6. kodeta atau rampasan kuasa
7. menimbulkan provokasi di kalangan gerakan-gerakan pemisah
8. peperangan melalui proksi
9. serangan dan bedilan
10. penaklukan wilayah

Dalam skema penjajahan pintar ini, istilah-istilah yang diberi pentakrifan oleh Amerika seperti diplomasi, bantuan kemanusiaan, pengganas, negara sekutu, senjata pemusnah, kebebasan dan seumpamanya agak kacau dan bercelaru. Setiap sesuatu beralih tempat dan memakai kelongsong yang salah. Pemiawaian nilai seperti keadilan, ketelusan dan kebenaran juga tidak lagi jernih dan murni. Segala-galanya dipinda dan diubah menurut selera dan kepentingan Amerika.

Peranan Amerika sebagai pembuli dan penyangak antarabangsa sudah diketahui umum. Tabiat dan perwatakan ini cukup sinonim dengan Amerika kerana itu Amerika digelar sebagai the rogue nation. Ironinya, masih ada kalangan negara yang menjadi pengkagum dan meniru-niru gelagat pentadbiran Amerika.

Amerika tidak akan berubah warna dan corak walaupun Presidennya orang baru berkulit hitam. Falsafah dan prinsip teras tertubuhnya negara Amerika tidak mengizinkan perubahan itu. Ia telah mengakar umbi semenjak dahulu lagi.




Terjemahan surat yang dihantar oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad kepada Barack Obama, Presiden Amerika yang baru.
( Terjemahan secara bebas )

Dengan nama Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Tuan Barack Obama,

Saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana terpilih dengan mendapat undi majoriti daripada mereka yang terlibat di dalam pilihanraya. Seperti yang anda ketahui, peluang-peluang yang dikurniakan Tuhan kepada hamba-Nya sering berlalu dengan pantas. Ia boleh digunakan untuk meningkatkan kemanusiaan dan memberi manfaat kepada bangsa, atau, barang dijauhkan Tuhan, ia boleh memudaratkan bangsa.

Saya harap anda akan memilih untuk memenuhi kepentingan rakyat serta menyebarkan keadilan dan kesamarataan, mengatasi dan membenamkan kerakusan dan kepentingan kalangan minoriti. Gunakan peluang ini sebaik yang mungkin dan biar nama anda dikenang sebagai tokoh yang terbilang nanti.

Rakyat mengharapkan tindak balas yang segera dan jelas terhadap tekanan untuk mengadakan perubahan menyeluruh di dalam dasar-dasar pentadbiran Amerika, sama ada dasar luar atau dalam negara. Inilah hasrat seluruh bangsa di dunia dan ia juga cita-cita bangsa Amerika serta harus menjadi asas dan matlamat segala tindakan dan program pentadbiran Amerika di masa depan.

Di satu pihak, rakyat Amerika yang mempunyai kecenderungan ruhaniyyah berhasrat melihat kerajaan anda menumpukan tenaga dan kesungguhannya untuk berkhidmat kepada rakyat; menangani krisis ekonomi semasa; memulihkan kedudukan negara, semangat dan harapannya; membasmi kemiskinan dan diskriminasi; menebus maruah setiap individu, hak-hak dan keselamatan mereka. Begitu juga mereka menaruh harapan terhadap dasar-dasar yang akan mengukuhkan ikatan kekeluargaan - yang menjadi sebahagian dari ajaran para Rasul dan juga nilai-nilai yang sangat dimuliakan di Amerika.

Di satu pihak yang lain pula, seluruh bangsa di dunia mengharapkan dasar-dasar yang berlandaskan keganasan, peperangan, penaklukan, persendaan, penipuan, menghina negara-negara lain dengan memaksa segala syarat dan keperluan yang tidak adil dan bukan-bukan, serta pendekatan diplomatik yang telah menyemai benih-benih kebencian terhadap para pemimpin Amerika dan merendah-rendahkan penghormatan terhadap rakyat mereka sendiri akan berakhir. Mereka mahu melihat tindakan selaras dengan prinsip-prinsip keadilan, menghormati hak-hak manusia dan bangsa-bangsa, kesetiakawanan dan dasar tidak campur tangan terhadap hal ehwal negara lain. Mereka mahu melihat kerajaan Amerika hanya menumpukan perhatian kepada urusan negaranya sahaja.

Di rantau Timur Tengah yang agak sensitif, khususnya, harapan untuk melihat ketidakadilan sepanjang 60 tahun lalu akan memberi jalan kepada pelaksanaan dasar yang menjamin hak sepenuhnya kepada seluruh bangsa di dunia, terutama sekali negara-negara yang tertindas seperti Palestin, Iraq dan Afghanistan.

Bangsa Iran yang merupakan pembina sebuah tamadun agung dan pencinta keadilan akan menerima dengan baik segala perubahan besar, adil dan nyata di dalam dasar-dasar dan tindakan-tindakan, khususnya di rantau ini.

Jika langkah-langkah diambil sesuai menurut jalan kebaikan, ke arah mencapai matlamat ajaran-ajaran para Rasul, Tuhan sudah pasti memberikan pertolongan-Nya manakala kerosakan besar yang telah dilakukan sebelum ini akan sirna.

Saya memohon merafak sembah kepada Tuhan supaya menganugerahkan seluruh bangsa manusia dan negara di dunia ini kesejahteraan dan kebahagiaan, maruah dan kemakmuran, serta memberi keupayaan kepada para pemerintah dan pegawainya untuk belajar tentang sejarah silam serta menggunakan setiap peluang yang terbuka untuk memberikan khidmat bakti mereka, untuk menyebarkan kebaikan dan kasih sayang, untuk membasmi penindasan, untuk berlaku adil dan mengikuti garis panduan Tuhan.

Mahmoud Ahmadinejad

Surat ini dihantar sekadar mengingatkan pemerintah Amerika tentang amanah dan tanggungjawab mereka terhadap kemanusiaan seluruhnya.



Pilihanraya Amerika mengheret mata dunia untuk melihat siapa bakal menjadi boneka 'petualang manusia nombor satu' kerana demokrasi bagi sebuah negara kapitalis seperti Amerika hanya sandiwara yang mengelabui setiap orang. Di belakang latar pentas politiknya ada segerombolan pelobi Yahudi yang menentukan siapa Presiden Amerika dan bagaimana negara itu harus ditadbir. Bidak sudah diatur di papan catur. Langkah sudah diukur, setiap gerak sudah dibaca dan natijahnya sudah diduga.

Ramai yang terpedaya, tersasul melatah dan mengimpikan akan ada perubahan terhadap dasar Amerika. Meraikan kemenangan Obama tidak akan 'mengayakan' negara miskin, ia tidak akan 'mengutarakan' negara selatan dan tidak akan meningkatkan taraf atau kelas Negara Dunia Ketiga menjadi Negara Dunia Kedua atau Pertama. Memang Obama bukan Bush atau MacCain, tetapi dalang mereka adalah sama dan mempunyai agenda yang serupa. Pelobi Yahudi hanya mencalit lakar terakhir dari sebuah gambaran besar; calitan itu rupa-rupanya membentuk wajah Obama, maka dinobatlah Obama menjadi presiden.

Negara-negara Islam di seluruh pelosok dunia menaruh harapan dan menyandarkan sentimen pada Obama. Para leluhurnya dari bumi Kenya beragama Islam walau sebelah ibunya seorang wanita berkulit putih dari Kansas. Lahir di Hawaii dan dibesarkan di Indonesia, Obama pasti memiliki titik lembut terhadap Dunia Islam. Lagipun namanya menggambarkan segala-galanya - Barack Hussein Obama. Apabila ditanya orang mengenai maksud 'Barack', beliau menerangkan bahawa ia berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud 'restu Tuhan' dan kemungkinan 'barakah'. Berdasarkan beberapa perkiraan ini, Obama tentunya lebih cenderung untuk menukar dasar Bush yang anti-Islam, memanggil balik tentera Amerika yang sedang mengganas di Iraq dan Afghanistan serta membantu membanteras Islamophobia di kalangan orang Amerika.

Tanah kubur politik Bush masih merah, manakala MacCain masih dalam 'idah politik lagi sedang Obama sudah menunjukkan belang dan kepatuhannya menurut telunjuk Yahudi. Beliau melantik Rahm Emanuel sebagai Ketua Staf, seorang Yahudi yang pernah berkhidmat dengan tentera Israel. Perlantikan ini disifatkan oleh akhbar-akhbar Israel sebagai "orang kita di Rumah Putih". Diaspora Yahudi akan berakhir. Amerika akan menjadi jurubicara Israel untuk mengganyang mana-mana negara Islam yang dianggap sebagai ancaman kepada mereka.

Sementara itu, Obama tidak akan mampu menyelesaikan krisis kewangan yang sedang melanda Amerika. Amerika hampir muflis. Seluruh struktur ekonominya sedang berantakan dan sukar untuk dibaik-pulih. Beliau terpaksa memilih jalan peperangan untuk menyelesaikannya. Negara-negara Islam akan dikambinghitamkan. Proses penyembelihannya akan bermula dengan menghantar isyarat perang dan ancaman kepada Iran. Iraq dan Afghanistan akan terus diceroboh. Seluruh tindakan ini perlu untuk sekurang-kurangnya 'menghidupkan kembali ekonomi' Amerika justeru asas binaan dan paksinya adalah Ekonomi Peperangan.




Umat Melayu sedang tenat mengalami dekadensi dalam pelbagai aspek; dekadensi yang menjurus kepada degenerasi. Kita tersangkut di tengah-tengah jaring, menjerat diri dalam paradoks nilai, terperangkap dalam permasalahan moral yang meruncing, terkekang oleh faham sinkritisme yang mengarati sikap dan pemikiran, mereceh-receh keimanan yang senipis kulit bawang. Orang Melayu bukan sekadar berada di persimpangan, ia tersasar dari landasan dan sedang terjerumus dalam lubuk puaka yang menyesakkan nafas. Orang Melayu kini sedang meluncur memasuki ambang kehancuran.

Umat Melayu menghadapi kekacauan yang fundamental; hakisan iman dan rosotan akhlak. Peningkatan jenayah sivil dan syariah yang melibatkan orang Melayu amat membimbangkan. Ia merupakan indikator rasmi kepada kekacauan yang fundamental ini. Bagaimana pula dengan angka yang tidak rasmi atau tidak dapat dikesan oleh penguatkuasaan hukum dan undang-undang? Kita sudah tergamak melintas kawasan larangan, berani mencabar hukum Allah dan melanggar segala batas dan sempadan; kita sudah jadi sebuah masyarakat amoral.

Beberapa dekad ini, kita asyik membicarakan soal keruntuhan moral dan kerencatan akhlak; rasuah, penyelewengan, kezaliman, penipuan, gejala murtad, penagihan dan seribu satu macam penyakit diri-batini. Segala sifat dan pencirian ini sama ada sedikit atau banyak, ketara atau tidak, ada pada kita. Ia bermula dari rumah kita sendiri, dibawa ke tengah kancah masyarakat dan bersarang di mana-mana sahaja kita singgah dan pergi. Kita memalit dan mengotorkan keadaan dengan sentuhan tangan kita sendiri. Lihatlah pada diri kita, rakan sejiran, saudara mara dan taulan. Mereka adalah cerminan diri kita sendiri; alter ego kita.

Daripada seorang penganggur, pelajar, peniaga ( korporat basahan, konglomerat picisan atau penjaja kaki lima ), kakitangan awam, ahli akademik, ulama', profesional, teknokrat, para pemimpin; kesemuanya bermasalah jika kita berakar umbi daripada juraian Melayu. Di antara adat budaya dan agama dengan realiti kehidupan orang Melayu, kelihatan percanggahan-percanggahan dan pertentangan-pertentangan yang nyata dan mencemaskan. Kita seolah-olah sudah bebas terlepas dari neraca ketuhanan. Orang Melayu sedang membentuk suatu fenomena baru yang bakal melupuskan wibawanya di persada dunia.

Mungkin kita belum sampai ke tahap menganggap 'God is dead' seperti di negara Barat suatu ketika dahulu, tetapi hembusan angin sesatnya sedang menjamah batang tubuh kita.




Semacam ada suatu grand design, suatu agenda agung atau suatu rancangan besar ( Big Plan ) daripada satu puak bagi menghimpit dan mencekik-jerut bangsa Melayu terus-terusan sehingga kita secara sukarela diharapkan akan mengangkat bendera putih sambil menggencat kekuatan. Satu demi satu peluru dibedil ke arah benteng ketahanan bangsa Melayu. Serangan berjadual berstrategi licik yang dilancarkan hampir mengena sasaran. Tiupan nafiri perang berkumandang, memekakkan telinga dan menyakitkan hati orang-orang Melayu. Kini, mereka menghalakan bunyi riuh gendang perang mereka betul-betul pada bucu atap dapur kita; tempat kita menanak nasi dan menggulai ikan.

Buat kesekian kalinya mulut celupar Liow Tiong Lai, jurubicara puak ini menghamburkan kata-kata penuh bernafsu mereka. Kami mahu itu dan kami mahu ini. Dengan tempikan suara lunak bernada hipokrit, mereka menggesa kerajaan supaya 'hapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing... ekuiti perlu dibuka, berikan kelonggaran agar sesebuah syarikat itu berdaya maju dalam menghadapi situasi ekonomi yang semakin meruncing'. Mereka sedar keupayaan kapitalis-kapitalis mereka boleh menelan seluruh kekuatan ekonomi orang Melayu. Mereka tahu bahawa satu-satunya perkara yang menyekat pemilikan sepenuh mereka dalam agihan kek ekonomi negara ialah dasar kerajaan yang dilihat oleh mereka sebagai pro-Melayu. Oleh itu dasar ini perlu dianjak dan diubah. Ia tidak sesuai dengan semangat persaingan dunia tanpa sempadan. Ia dianggap out-dated, usang dan retrogresif.

Dari DEB ke DEN, kerajaan telah merangka pelan penstrukturalan ekonomi yang agak berimbang, cuba meleraikan kemelut ketidakadilan sosial serta berusaha untuk membanteras gejala kemiskinan tegar. Walaupun DEB tidak mencapai matlamatnya untuk meningkatkan peratus pegangan kaum Bumiputera sebanyak 30 peratus, namun langkah-langkah kontigensi dalam bidang-bidang kritikal dan dianggap strategik bagi kaum Bumiputera terus diusaha dan dilaksanakan. Jika kita menilik dari aspek hak pegangan ini, kaum Bumiputera seharusnya memperolehi peratusan yang lebih dan tidak sekadar 30 peratus seperti yang ditetapkan. Kenyataan ini tidak perlu dipertahankan melalui debat-debatan atau hujah akademik yang panjang berjela-jela.

Sekiranya tuntutan mereka supaya kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dipertimbangkan, apakah kita tidak berhak menuntut agar peratusan ekuiti tersebut dinaikkan menjadi 50 atau 60 peratus? Apakah orang Melayu tidak berhak bersuara untuk menuntut supaya kerajaan menetapkan pemilikan perumahan baru kepada 60 peratus untuk Bumiputera termasuk rumah-rumah kedai dan pusat komersial dan tidak nisbah 30:70 yang memihak kepada mereka seperti sekarang? Bukankah tuntutan mereka itu tidak senafas dengan semangat Perlembagaan Fasal 152 dan Fasal 153? Bukankah tuntutan mereka itu bercanggah dengan semangat Kontrak Sosial?

Orang Melayu mesti bertegas untuk mempertahankan hak mereka. Usah nanti anak cucu kita terpaksa bersenandung meratapi binaan yang sudah runtuh, bernyanyi dengan irama derita kerana bumi yang dipijak sudah menjadi milik orang.






Suasana yang sangat tidak menentu sekarang ini meminta kita mengambil sikap dan pendirian yang konsisten dengan dasar dan matlamat perjuangan bangsa yang selama ini dimanifestasikan melalui pelbagai kaedah dan jurusan menurut wasilah-wasilah yang sedia ada. Dari kepelbagaian itu kita mencabut dan memaparkan kembali segala semangat dan tuntutan hasil keprihatinan dan rasa kebertanggungjawaban sebilangan penulis, wartawan dan blogger seperti yang termaktub di dalam Deklarasi Janda Baik.

Deklarasi Janda Baik

Memandangkan keadaan politik yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib bangsa, agama dan tanah air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan Perlembagaan Malaysia Tanpa Kompromi.

2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan Hak Istimewa Melayu sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan jadi pengkianat bangsa, agama dan tanah air hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang bangsa, agama dan tanah air tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sangup memperjudikan nasib bangsa, agama dan tanah air.

7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan.

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan Keadilan dan Tanggungjawab sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan Perlembagaan Negara demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian, KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008


Bumi kita pernah terjajah dan menjadi khazanah agihan spera kuasa antara Belanda, British dan Portugis. Setiap kali berlaku pergelutan dan pertempuran, orang-orang Melayu sentiasa berada di barisan hadapan bagi mempertahankan serta membebaskan bumi ini dari penjarahan dan pancangan kuasa-kuasa asing. Tanah Melayu mencapai kemerdekaan bukan dengan suapan 'sudu perak berdulang emas', bukan retorik di mimbar politik dan tidak berlaku dalam tempoh sekelip mata. Banyak pengorbanan yang telah dicurahkan; limpahan keringat, air mata dan darah. Para leluhur kita menelusuri jejak derita dan hidup dalam kemiskinan, via dolorasa, bergumpal dengan kehidupan yang serba getir, tetapi penuh semangat, azam dan cita-cita. Tanah Melayu harus bebas dan orang-orang Melayu kembali menebus maruah dan kedaulatannya.

Setelah bumi ini terlepas dari cengkaman penjajah, orang-orang Melayu sekali lagi melakukan pengorbanan besar dengan mengambil jalan kompromi politik. Kita menyerahkan sesuatu yang termahal bagi mana-mana bangsa yang bermaruah. Kita merelakan Tanah Melayu membuka babak baru dalam perkongsian hidup dan kuasa. Kita menerima kehadiran 'orang lain' dalam kelambu hidup kita. Bahkan, kita membiarkan 'orang lain' meneroka dan membina kehidupan mereka tanpa banyak kerenah dan persoalan. Orang Melayu tidak pernah diajar untuk mementingkan dirinya sendiri ibarat dedalu yang hanya melepaskan pucuk masing-masing.

Kita ungkap kembali kata-kata T.H. Tan seorang pemimpin China ketika menyatakan penghargaannya terhadap pengorbanan pemimpin-pemimpin Melayu pada ketika itu, "They stood willingly in favour of Chinese and Indian Alliance candidates. Not only did they forgo seats which would without question have been theirs, but they work tirelessly, unselfishly for the Chinese and Indian candidates. It was notable that not a single Chinese or Indian, 17 of them all lost his seat. I salute those UMNO leaders who made the sacrifice and a contribution of incalculable value to the cause of Malaya Independence".

Kini, senario sudah banyak berubah. Sekarang mereka sudah boleh mendebik-debik muka dan kepala kita. Mereka sudah boleh mempersoalkan apa saja yang terlintas di benak hati mereka. UMNO diminta untuk merubah persepsi sebagai parti pembuli. Mereka mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada kalangan bukan Melayu justeru bagi mereka UMNO tidak berkemampuan menubuh kerajaan dan memerintah sendiri. Mereka menggesa supaya empat kerusi tertinggi di dalam BN dipilih secara bebas oleh parti-parti komponen dan kerusi Timbalan Pengerusi BN harus juga daripada kalangan mereka. Apakah mereka akan berhenti setakat itu? Sudah pasti tidak. Mereka akan mula mencarik dan merobek kesepakatan dan nilai setia kawan. Mereka akan mula meminta bulan, bintang dan matahari. Mereka tahu inilah masa yang paling sesuai untuk bertindak kerana orang-orang Melayu sedang lemas dan lemah.

Apakah para pemimpin Melayu akan membiarkan keadaan ini berterusan? Jangan biarkan 'kata tak berjawab, gayung tak bersambut'. Kita punya maruah dan harga diri.










Bagaikan halilintar membelah bumi, laksana ribuan garuda menyerkup ruang angkasa, begitulah juga lelehan lava ketidakpuasan hati dan isu-isu perkauman yang mengepungi orang-orang Melayu. Kesemuanya kelihatan menyeringai; mengilatkan taring dan mengasah taji untuk membenam bangsa Melayu serta memadamkan obor-obor Islam. Anasir-anasir ini bergerak dari luar bagi melemah dan memukul terus bangsa Melayu.

Pada ketika ini, anasir-anasir asing tersebut mula berani menyelongkar struktur teras dan menakik-nakik tiang seri negara ini. Mereka mempersoalkan keabsahan Melayu sebagai bangsa pribumi sekaligus mempertikai tahta Raja-Raja Melayu, mencari ruang untuk memperkecilkan Islam sebagai agama rasmi, menimbulkan keraguan tentang penstrukturalan ekonomi negara yang mahu meningkatkan partisipasi kaum bumiputera, mencampakkan kekeliruan fakta tentang sejarah kerajaan Melayu yang panjang dan berliku-liku, mengurangkan dominasi politik Melayu dengan saranan mengujudkan parti politik tunggal tanpa mengira kaum, menggesa pelaksanaan meritokrasi tanpa melihat setting infrastruktur penempatan dan keupayaan fiskal orang-orang Melayu dan sebagainya. Pendeknya, mereka mahu orang-orang Melayu akur bahawa Tanah Melayu adalah sewilayah kawasan politik untuk semua dan jangan sekali-kali mengungkit-ungkit sejarah dan kedaulatan kerajaan Melayu silam. Bagi mereka, sejarah Tanah Melayu hanya bermula pada 31 haribulan Ogos, 1957.

Sementara itu pula, seperti sudah jatuh ditimpa tangga, orang-orang Melayu menghadapi penyakit-penyakit kronik yang mengintai saat untuk mencengkam dan membunuh terus keberadaannya di pentas dunia. Islam kian tergasir serta adat dan budaya kian terpinggir. Jurang generasi semakin melebar, institusi rumahtangga bagai hotel persinggahan, ikatan persaudaraan dan setiakawan boleh dijual-beli, adab dan akhlak menjadi perkakasan solek untuk dipamir, amanah dianggap anugerah serta kekuasaan dianggap keistimewaan; kesemuanya tergelincir dan tersasar landasan.

Keadaan semakin parah apabila pelanggaran-pelanggaran ini berterusan seolah-olah kita hidup tidak berpedoman dan mati tidak berhukum.

Kelemahan dan kecacatan kita memberi ruang yang seluas-luasnya kepada siapa saja untuk menginjak-injak maruah dan keperibadian kita. Orang Melayu harus bangkit dari dataran kehinaan ini dan menemukan dirinya kembali. Seperti kata-kata Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, keadaan kucar-kacir kita disebabkan oleh punca yang satu, kita 'kehilangan adab'.

Kembalikanlah manusia Melayu kepada 'adabnya'.




Dahulu, suara-suara protes yang menyentuh kedudukan orang-orang Melayu sangat langka dan timbul secara sporadik. Keadaan ini terpelihara kemungkinan kerana semangat yang dibaja dan disuburkan dari Kontrak Sosial. Pemeteraian kontrak sosial dianggap sesuatu yang sakral, walaupun ia tidak juga disenangi oleh beberapa fraksi dalam masyarakat Melayu. Pada ketika itu kedengaran imbauan suara amaran bahawa kaum pendatang tidak memiliki darjah kesetiaan yang tinggi terhadap bumi Melayu, tempat mereka dipaksa pindah ( atau sesetengah mungkin secara sukarela ingin berhijrah atas pelbagai sebab yang sedang bergolak di negara asal mereka ). Kesetiaan mereka ibarat 'cinta sabun mandi' - semakin digunakan semakin susut dan kurang wangi.

Kontrak sosial dari sudut implikasi boleh juga disifatkan sebagai 'setia sekufu selagi selesa' atau sering disebut sebagai 'marriage of comfort'. Bagi orang Melayu ia dianggap suatu pengorbanan; laksana menyerahkan sesuatu yang termahal bagi suatu bangsa yang berdaulat. Bagi kaum pendatang pula, pada hakikatnya mereka tidak mempunyai risiko apa-apa kerana kedatangan mereka ke Tanah Melayu adalah untuk mendapatkan sesuatu dan mereka telahpun memperolehinya, malah lebih dari apa yang datuk nenek dan mereka sendiri jangkakan.

Sewaktu zaman British, anak-anak muda mereka pernah dikerahkan untuk menganggotai angkatan tentera bagi menghambat dan menghapuskan komunis, tetapi kebanyakan daripada mereka bertindak meninggalkan negara ini. Justeru kerana itulah barangkali orang-orang Melayu merasakan kesetiaan kaum pendatang ini terhadap Tanah Melayu boleh dipersoalkan. Lagipun pihak British sendiri, dalam banyak keadaan, tidak melihat mereka sebagai golongan pribumi yang berhak ke atas negara ini. Ini jelas terbayang dari kata-kata Sir Hugh Clifford, Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, "everyone in this country ( to ) be mindful of the fact that this is a Malay country, and we British came here at the invitation of Their Highness the Malay Rulers, and it is our duty to help the Malays to rule their own country". Hanya setelah Malayan Union diperkenalkan, pendirian pihak British mengenai perkara ini turut berubah. Perubahan pendirian ini sesuai bagi British kerana ia dilihat sebagai langkah strategik bagi menjamin kepentingan mereka.

Apapun perkembangan yang berlaku selepas itu, ia terakam kemas dalam sejarah. Dari satu peristiwa ke satu peristiwa, keletah mereka tidak memperlihatkan kecenderungan mereka untuk mendaulati bumi Melayu. Terakhir ini, isu kontrak sosial kembali bergema kerana diusik oleh tangan-tangan kotor yang berniat jahat. Paksinya sekali lagi bergegar dan menimbulkan reaksi yang bermacam ragam.

Nyatanya, cinta sabun mandi tidak akan mampu membersihkan kekotoran itu.






Sekurang-kurangnya ada yang mengenang budi dan tahu 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.

Sila layari http://balankumarpremakumaran.blogspot.com/

Tabik Che Det

Tabik Che Det kerana menyegarkan semangat kami
Tabik Che Det kerana membuka mata kami untuk menerobos ufuk
Tabik Che Det kerana menaikkan martabat kami seperangkat
Tabik Che Det kerana membakar api perjuangan bangsa yang telah malap
Tabik Che Det kerana menimbulkan persoalan untuk kami berfikir
Tabik Che Det kerana merangsang jiwa bangsa bagi menghadapi persaingan
Tabik Che Det kerana membawa kami melangkah ke hadapan
Tabik Che Det kerana menyediakan prasarana bangsa untuk kami bergerak maju
Tabik Che Det kerana menyuntik kesedaran bangsa bagi mempertahankan maruah
Tabik Che Det kerana memperkasa jatidiri bangsa yang sudah longlai
Tabik Che Det kerana meninggalkan legasi bangsa yang takkan ada pengganti
Tabik Che Det kerana mewariskan agenda bangsa yang gemilang
Tabik Che Det kerana merealisasikan impian bangsa dalam masa yang ringkas
Tabik Che Det kerana mengharumkan bangsa di persada dunia
Tabik Che Det kerana menyentak lamunan kami dari keaiban
Tabik Che Det kerana membangkitkan kami dari kerendahan diri
Tabik Che Det kerana mengangkat maruah dan 'izzah kami yang kian tenggelam
Tabik Che Det kerana menyuburkan iltizam kami untuk terus berjuang

Maaf Che Det kerana kami alpa, leka dan bersengketa
Maaf Che Det kerana kami lambat, menangguh-nangguh dan berpeluk tubuh
Maaf Che Det kerana kami sukar membaca langkah keramatmu
Maaf Che Det kerana kami serakah, gelojoh dan haloba
Maaf Che Det kerana kami tidak mengenang budi
Maaf Che Det kerana kami gagal meneruskan warisan agungmu
Maaf Che Det kerana kami 'Melayu yang mudah lupa'

Tabik Che Det
Terima kasih di atas segala-galanya
Terima kasih daun keladi

Belum reda kaum pendatang membuat onar dan kekecohan, tatkala api kemarahan orang Melayu masih hangat dan berasap, sekonyong-konyong timbul pula karenah mual kenyataan ofensif yang dimuntahkan oleh Tan Lian Hoe, Ketua Wanita Gerakan mengenai orang Melayu. Seperti yang diberitakan, beliau menyifatkan orang Melayu sebagai golongan muhajir dari kepulauan Melayu di Nusantara sama sepertimana kaum China dan India dari negara masing-masing. Pelbagai pihak tampil menjawab dengan membentang hujah sejarah, politik dan peradaban. Orang Melayu kelihatan defensif dan apologetik.

Di sini kita tidak bertujuan untuk menyorot kembali fakta sejarah dan meneropong kronologi kedatangan mereka ke Tanah Melayu. Apa yang hendak kita sentuh ialah sifat dan perwatakan anak cucu kaum pendatang ini setelah mereka diberi taraf kerakyatan oleh para pemimpin Melayu; setelah jurang ketidakadilan kaum dileburkan, setelah ruang dibuka seluas-luasnya kepada mereka untuk mengaut segala rezeki yang terdampar di bumi ini dan setelah mereka mengecapi sebuah kehidupan yang jauh lebih baik berbanding dengan para leluhur di bumi asal mereka.

Kita telah melihat dan merasai pengalaman pahit apa yang telah mereka lakukan pada insiden atau tragedi 13hb Mei 1969. Kita telah juga melihat dan mengesan komplot dan konspirasi mereka apabila mereka menyogokkan tuntutan demi tuntutan setelah menyedari orang-orang Melayu berada dalam keadaan lemah dan bertelagah. Pada waktu krisis perlembagaan, konfrontasi team A dengan team B di dalam UMNO pada tahun 1988 hingga membawa kepada pengharaman UMNO, kes pemecatan DSAI dan munculnya gerakan reformasi dan akhir sekali apabila wakil rakyat daripada kalangan mereka memenangi kerusi yang lebih banyak pada PRU ke 12 yang baru lalu, mereka semakin tegar, berani dan biadab. Jelasnya, apabila orang-orang Melayu bermasalah dan berkeadaan lemah, mereka melangkah mara dengan derap yang lebih sekata dan tersusun. Mereka mencanangkan berbagai-bagai ketidakadilan ( kononnya ), salah guna kuasa orang Melayu dan mencabar peruntukan Perlembagaan tentang hak dan keistimewaan orang Melayu. Desakan, tuntutan dan kehendak mereka tidak akan terhenti di situ. Atas nama 'perubahan dan kemajuan', mereka akan terus mencabar dan mengganggu-gugat status quo orang Melayu.

Tidak kira sama ada di dalam PR atau BN, mereka akan setia selagi selesa dengan perkembangan keadaan. Namun, apabila mereka merasakan kesempatan terbuka untuk mereka mendesak dan bertindak, tiada apa yang menghalang mereka dari mendapat apa yang mereka inginkan. Dari segi perkiraan politik, sudah tentulah parti-parti dominan Melayu sama ada dalam PR atau BN akan menawarkan sesuatu yang lebih kepada mereka demi undi dan kuasa. Akhirnya, keuntungan berada di pihak mereka.

Masih segar dalam ingatan kita bagaimana mereka mengarak sebuah penyapu besar di atas lori sebagai simbol untuk menyapu keluar orang-orang Melayu dari tanah tumpah darah mereka sendiri sebelum berlakunya tragedi 13 Mei dahulu. Jangan biarkan ia berulang. Orang Melayu jangan jadi macam 'anjing yang tetap bercawat ekor, walaupun 10 jong sudah masuk ke pelabuhan'.






Langit politik Melayu kelihatan mendung, kelam dan suram. Angin yang mengarak awan tidak menampakkan kelembutannya, hembusannya agak berat dan kasar. Ada tragedi yang sedang merentap kesentosaan bangsa ini. Tragedi persengketaan dan bahang perpecahan. Masing-masing sedang asyik mengadu domba, memekatkan air yang sedia keruh dan tenggelam mabuk dalam kebanggaan puak, klik dan regu.

Ikatan persaudaraan terungkai dan semboyan perang berkumandang di merata-merata pelosok hingga ke ceruk pedalaman. Setiap orang diseret untuk menyatakan pendirian, untuk berpatah arang dan berkerat rotan. Seolah-olah tiada yang berkecuali dalam 'permainan menuding jari' atau the blame game ini. Siapa dapat menelanjangkan siapa dan siapa pula akan mendedahkan keaiban siapa. Setiap pihak berseronok dengan fakta dan angka tentang keburukan pihak yang dimusuhi. Ini bukan lagi ribut dalam cawan. Ia suatu epidemik; bahana penyakit yang mengharamkan rahmat Allah untuk turun mencurah-curah.

Sekali lagi ia suatu epidemik; virus minda dan hati yang berjangkit dan bakal melumpuhkan bangsa ini.

Kita tidak punya banyak masa untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari mengalami kehancuran total. Anak cucu kita bakal melukut di tepi gantang; mengemis di buminya sendiri. Peneledoran kita akan menyebabkan kita tergadai seluruh apa yang kita miliki; asakan mereka sudah kian terasa panas dan ganas. Mereka menanti-nanti saat kelekaan kita, saat dan ketika bangsa Melayu lupa daratan, bergelumang dalam masalah yang ditempah sendiri; berpecah belah dan terbuai galak dalam the blame game.

Kesemua ini harus berhenti, sekarang. Para pemimpin Melayu ( politikus, cendiakawan, ulama', profesional ) harus mendapatkan formula penyelesaian segera bagi mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Mereka harus duduk semeja, berunding dan mencari jalan keluar terhadap setiap kebuntuan yang kita hadapi dan kita yakini Islam telah menawarkan segala-galanya.

Jangan nanti kita 'memang sorak kampung tergadai'.

Penganugerahan bintang kebesaran Melayu yang membawa gelaran 'Datuk' kepada aktor protagonis Hindu, Shah Rukh Khan oleh kerajaan negeri Melaka hanya kerana beliau memilih backdrop salah satu adegan dalam filem lakonannya di Melaka, mencerminkan kemuflisan, kesuntukan dan kedangkalan pemikiran tahap melampau panel penilai penerima anugerah tersebut. Terlalu rendahnya nilai 'bintang kebesaran bangsa Melayu' itu sehingga ia boleh dianugerahkan sewenang-wenang kepada siapa saja yang difikir 'layak' oleh mereka.

Apakah mekanisme, prinsip-prinsip pemandu ( guiding principles ), kayu ukuran, sifat dan pencirian penerima, kelayakan serta piawai nilai dalam mengagih-agihkan bintang kebesaran Melayu itu? Siapakah pula yang layak menjawat panelis penilai tersebut? Apakah tidak adanya badan khas yang memantau dan menentukan penilaian terakhir setelah panel penilai memilih senarai penerima? Adakah ia soal favour dan favourites, bukan merit dan wibawa ketrampilan berdasarkan pembakuan akhlak dan nilai manusiawi serta adat dan budaya Melayu? Penganugerahan ini sebenarnya adalah cerminan kepada set nilai dan sistem budaya masyarakat Melayu. Ia tidak harus dibuat tanpa mengambil kira maruah, martabat dan kepentingan bangsa.

Sekitar awal tahun 1990an dahulu ( kalau tidak silap ), kartunis Lat ( Datuk ) pernah melakarkan karikatur senario kesibukan satu bahagian dari kawasan metropolitan. Ada watak si pengurup wang, pejalan kaki sedang sibuk menyeberangi jalan dan di antaranya adalah seorang India penjual kacang putih. Kelucuannya ialah watak-watak tersebut semuanya bergelar 'datuk' dan 'tan sri'. Gambaran yang dilukis oleh Datuk Lat mengandungi unsur satira dan realiti masyarakat di Tanah Melayu. Ia sangat tajam, menusuk dan membekas. Walaupun dibuat untuk tujuan mencuit hati, tetapi sarat dengan mesej dan pengajaran.

Datuk Lat melawak dengan hasil karikaturnya, bukan melahirkan pelawak-pelawak Melayu yang tidak tahu menempatkan diri dan maruah bangsanya?








Sekadar mengungkapkan kembali bait-bait asertif lagu Warisan yang sangat mendambakan penyatuan bangsa Melayu dan kesedaran tentang harga diri dan nasib peradabannya, kita perturunkan sebagai renungan bersama.

WARISAN

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di Nusantara

Isu perobohan kuil yang didirikan secara haram di Ampang ( harus tidak melalui permohonan rasmi, tidak ada kelulusan arkitektural dan kejuruteraan, tidak menurut spesifikasi, pendeknya tidak mengikut saluran dan kewajaran ) bukan sekadar runtuhnya sebuah bangunan untuk upacara agama Hindu. Ia sebenarnya lebih dari itu.

Kuil Sri Mahakaliaman ( anehnya kalau sudah haram peduli apa dengan nama ) khabarnya pernah dirobohkan ketika kerajaan BN memerintah dahulu. Ia didirikan semula oleh pihak yang merasakan bahawa kewujudan kuil di situ suatu keperluan agama walaupun ia tidak mengikut sebarang peraturan seperti juga kebanyakan kuil lain yang tumbuh macam cendawan di merata-rata tempat yang terdapat penganut agama Hindu bermastautin di kawasan tersebut. Seperti biasa, di peringkat awal pembinaan kuil, ia hanya mengambil ruang yang sedikit tetapi kemudiannya membesar dan semakin menyerlah. Kemungkinan ini berlaku kerana keperluan terhadap upacara agama Hindu.

Di sini, kita tidak mahu mempersoalkan tentang kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan negara. Itu adalah hak asasi setiap warga negara. Apa yang ingin disentuh ialah modus operandi pembinaan kebanyakan kuil; pacak sesuka hati tanpa proses yang sewajarnya dan dari saiz yang kecil ia semakin membesar dan kemudian mengharapkan pihak berwenang boleh menerima tanpa soal kerana ia merupakan isu agama - sensitif.

Insiden perobohan kuil di Ampang membuak menjadi isu intergriti pegawai kerajaan negeri, isu orang politik menebarkan jala pengaruh bagi mendapatkan simpati 'undi' serta ada sedikit rencah permainan sentimen kaum.

Apakah ada kewajaran Timbalan Yang Di Pertua MPAJ digantung tugasnya hanya kerana beliau sekadar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penjawat awam? Adakah kewajaran isu ini memerlukan campurtangan orang-orang politik sedangkan ia boleh diselesaikan di peringkat MPAJ sendiri? Adakah kewajaran untuk mewajarkan sesuatu yang terlebih dahulu dibuat secara haram seolah-olah berhabis daya untuk 'menegakkan benang yang basah'?